TRAVELOG KT33_siri2



Sambungan cerita.......dari......Travelog KT33
Dek telingaku terdengar berdebab bedebuk langkah kaki manusia yang tidak sedikit bilangannya. Apa yang berlaku? Rupa-rupanya di Raudah amat ketara jagaan keluar masuk ahli jemaah haji ke dalam sana. Polis yang berunifom lengkap bewarna hijau segak mengawal partition yang mempunyai pintu tertentu yang hanya dibuka pada waktu yang telah ditentukan mengikut arahan yang telah ditetapkan. Bagi jemaah lelaki, waktu melawat raudhah ialah selepas asar hingga lewat isyak yang di situ terdapat maqam Rasulullah dan juga berdirinya mimbar rasulullah. Semuanya berada di sebelah kiri bahu posisi tubuh kita jika berdiri mengadap kiblat. Manakala jemaah wanita boleh melawat Raudhah pada waktu pagi selepas dhuha hingga sebelum zohor. Bunyian Berdebab berdebuk adalah larian telapak kaki jemaah yang berebut-rebut memasuki ruangan Raudhah untuk mendapatkan saf untuk solat berhampiran dengan Mimbar Rasulullah. Semasa berada di dalam raudhah, biasanya belum sempat memberi jemaah memberi salam ke kiri semasa duduk ishtiraj dalam solat, polis awal-awal lagi mencuit atau yang lebih tidak syok lagi apabila mereka selamba menarik bahu jemaah meminta keluar segera untuk memberi peluang kepada jemaah yang lain pula bersolat di situ. Seseorang yang berpeluang solat lama sikit atau bermunajat sehingga berbilang rakaat solat di sana adalah amat bertuah kerana ada masa tertentu polis terlepas pandang juga dapat rezki tak disngka-sangka. Beginilah suasana yang terjadi semasa di ruangan raudhah dan seterusnya jemaah disusul menuju ke maqam baginda. Jutaan manusia ke Masjidin Nabi demi mencari peluang mendekatkan diri serta memberi salam kesejahteraan kepada manusia agung ini.
Kebenarannya tiada siapa yang mampu menafikannya. Di serambi inilah manusia yang kita amat cintai ini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Di sinilah baginda pernah mengucapkan sesuatu perkataan yang teramat penting bagi kita semua fikirkan. “ummati, ummati, ummati”. Betapa perihatinnya Rasulullah mengenangkan keadaan umat akhir zaman selepas kewafatan baginda. Bagaimanakah corak ajaran ugama atau ikutan kehidupan ummah yang terwujud selepas sepeninggalan baginda. Baginda tidak merisaukan sahabat-sahabat, atau tidak runsing kepada ahli keluarganya. Pada suatu masa, selepas menziarahi syuhada di perkuburan Uhud di penghujung umur baginda, pernah baginda menyebut tentang kerinduannya terhadap saudara-saudara baginda. Para Sahabah menyangka merekalah saudara-saudara yang dimaksudkan itu. Namun sangkaan tersebut meleset sama sekali. Rupa-rupanya manusia itu merupakan mukmin mukminah yang terus menerus beramal soleh di zaman ini yang suasananya tidak ubah seperti zaman jahiliyyah sebelum keberadaan baginda di Mekah. Dunia hari ini adalah zaman jahiliyyah moden. Tidak sanggup diperkatakan. Jika sekiranya baginda hidup hari ini dan baginda melihat sendiri rentetan berita di sana sini, teramat banyak cerita yang menyayat hati. Bayi yang tidak berdosa dibuang tanpa belas ehsan kemanusian, yang sememangnya lebih dahsyat dari zaman jahiliyyah yang mensasarkan bayi perempuan sahaja, manakala kejahatan firaun pun, askar-askarnya hanya memburu dan membunuh bayi-bayi bani israil yang laki-laki.  Keimanan dan keislaman pelaku maksiat hari ini hancur nilai norma kemanusiaannya dan seperti tidak ada tanda-tanda untuk reda atau berubah ke suatu tahap yang lebih baik. Jika seseorang itu dapat bertahan dan mengekalkan perintah Allah dan meninggalkan secara total larangan Allah dalam ertikata tidak sedikitpun keinginan maksiat itu mempengaruhi iman dan islam mereka. Mereka tenang dengan keimanan, keislaman dan keihsanan yang mantap. Ini lah contoh manusia yang pernah diidam-idamkan oleh baginda rasulullah.
 
 Malam itu ku tidur dengan nyenyak. Isteriku jua kepenatan kerana pertama kali berkenal-kenalan dengan masjid nabi yang kaifiatnya apabila solat 1 rakaat didalamnya bersamaan dengan 10,000 rakaat di masjid lain. Aku menginap di bilik hotel bersama-sama ustaz Shukor dan seorang lagi jemaah yang merupakan seorang ahli perniagaan. Untung juga boleh bersahabat sebilik dengan seorang ustaz yang bila ada masalah berkaitan haji atau sebagainya, bolehlah mengutarakan soalan tanpa segan silu. Susah hati ini, apatah lagi keadaan yang memaksa untuk berenggang dengan buah hati yang amat ku sayangi. Ada juga orang beritahu. Masa di Malaysia, hubungan suami isteri amat mesra dan amat cun sekali. Manakala bila dah sampai di tanah suci, asyik nak bergaduh saja dan ada juga hampir-hampir bercerai. Aku berdoa minta Allah s.w.t tolong elakkan keluarga kami dari berlaku sebarang perkara tak baik bila berada di tanah bertuah tersebut.. InsyaAllah. Bila berada di negeri yang termulia ini serta berjauhan kilometer dari negeriku nun jauh di sana di Kota Bharu. Kelantan. Aku cuba memujuk perasaan hati rindu dendam terhadap insan yang selama ini telah berbakti pada diri ini. Oh sang isteri, bagaimana nak ku cuba melupakan rutin kehidupan seorang manusia dan mencipta saluran perhatianku dengan mengalih tumpuanku kepada persoalan bagaimana untuk meraih simpati serta belas kasihan Allah terhadapku. Aku membawa ke sini serba makneka dosa-dosa yang tak terkira banyaknya. Dah bertahun lamanya dikumpul. Tak habis-habis. Berkurang tidak tapi rasa-rasanya bertambah ada. Tak tahu nak tebus bagaimana. Biasanya bila dah terbuat cepat-cepat minta ampun kepada tuhan, tetapi bila dah lupa anggota yang sama, fikiran yang sama, aduhai tetap juga melakukan dosa itu semula. Hati ini kotor.... tak tahu bagaimana nak dibersihkan. Guna clorok, sabun daia??? Sekiranya kotoran hati ini boleh disaksikan seumpana kita lihat daki pada kain baju atau tanah selut pada kasut, nescaya akan ku cuci sebersih-bersihnya. Sesungguhnya banyak lagi perkara yang aku tak tahu selama ini yang wajib aku pelajari untuk memahaminya serta mempraktikkan secara betul dengan sebaik-baiknya. Tiba-tiba aku disapa oleh seseorang. “Hei Malaysia mari ka? “ Terkejut aku bila yang menyapa itu seseorang yang tak pernah ku kenali. Dia ni kenal aku ke, nak kata pernah kenal, dia ini bukan orang melayu dan bukan warga malaysia. Siapa dia ini hah?...... BERSAMBUNG LAGI

Comments

Popular posts from this blog

DJM2012_NOTA_SISTEM KAWALAN KOMPUTER

JF302 -Bab 2a

JF302 BAB 6- PLASTIK