ADAB BERJIRAN



(Reference : www.dakwahpdf.blogspot.com)

1. Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan
hormat-menghormati antara satu sama lain. Antara caranya dengan memulakan ucapan
salam jika bertemu dengan sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika
bertemu dengan bukan Muslim.
2. Tidak menyakiti mereka samada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar
sangkaan buruk.Jiran yang jahat dan tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga
hitam yang telah dirasuk syaitan sehingga tergamak melakukan kejahatan dan
kedurjanaan sehingga  menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.
Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah SAW pernah bersabda; 

“ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman.
Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?. Rasulullah SAW
menjawab : Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan
tenteram) lantaran kejahatannya.”                 (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda; 

“ Tidak masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan
tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)     
                               
3. Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia. 
4. Sentiasa merendahkan diri dan berlemah-lembut dengan mereka dan mengelak diri
dari bersikap takabbur.
5. Sentiasa bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang
diperlukan.  
6.  Sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap segala permasalahan yang sedang
mereka hadapi sama ada yang berkaitan dengan masalah keagamaan, kekeluargaan atau
rumah tangga, kejiwaan, kesihatan, pelajaran, , kewangan, makan-minum, dan
sebagainya. 
7. Sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia sesama jiran sehingga akhirnya
melahirkan perhubungan kejiranan yang lebih mesra dan lebih akrab. 
8. Tidak memandang rendah dan saling menghina sesama jiran, sebaliknya hendaklah
sentiasa hormat menghormati dan harga-menghargai, termasuklah menghargai dan
berterima kasih terhadap apa jua pemberian, khidmat dan pertolongan yang
diberikan. 
9. Mengutamakan jiran yang terdekat rumahnya dengan rumah kita. Penetapan
jiran terdekat ialah 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kira, sama
ada di kiri, kanan, hadapan dan belakang. Terdapat tiga kategori jiran. 
Pertama, jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan, mereka
mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga dan seorang Muslim. 
Kedua, jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak
seorang Muslim dan 
Ketiga Jiran Bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu hak jiran.
11. Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan
ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah
SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahgiaan ialah ‘jiran yang
baik’. 
12. Elakkan sikap terlalu suka mengambil tahu hal ehwal peribadi dan keluarganya,
kecuali setelah mereka sendiri mengadu untuk mendapatkan bantuan kita untuk
menyelesaikannya. 
13. Bantulah mereka apabila mereka ditimpa kesusahan dan mala petaka, agar hati
mereka menjadi tenang dan tenteram. 
14. Rasakan kesusahan jiran seperti kesusahan yang kita tanggung sendiri dan
zahirkan kegembiraan ketika mereka bergembira, sama ada ketika mendapat
rumah baru, perabut baru, kelahiran anak baru, mendapat menantu dan
sebagainya. 
15. Elakkan dari memerhatikan barangan atau apa sahaja yang dibeli atau yang
dibawa pulang ke rumahnya. 
16. Tidak cuai untuk menyeru mereka kepada yang makruf dan mencegah
kemungkaran dengan cara yang paling berhikmah. 
17. Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah atau umpatan orang lain terhadap diri
mereka. 
18. Menziarahi mereka ketika mereka sedang sakit.
19. Mengurus jenazah mereka setelah mereka meninggal dunia.
20. Tidak menghebahkan segala kesalahan, keaiban dan kesilapan jiran.
21. Berlemah-lembut dengan anak-anaknya.
22. Menjaga keselamatan rumah atau anak-anak mereka, ketika mereka tiada di
rumah.
23. Mengucapkan tahniah ketika sempena-sempena tertentu, terutama ketika
mereka memperolehi kebaikan dan kurniaan dari Allah.
24.  Mengucapkan takziah ketika mereka ditimpa mala petaka dan bencana.
25. Tidak menyakiti mereka melalui bauan enak dari masakan yang kita masak dari
rumah kita. Digalakkan agar kita memberikan sedikit daripada masakan tersebut
untuk mereka nikmati. 
26. Menghadiahkan mereka dengan buah-buahan yang kita beli.
27. Sentiasa mendoakan keselamatan dan kebahagian jiran

MARILAH KITA SAMA-SAMA BERWASPADA AGAR TIDAK TERMASUK KE DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG SEPERTI YANG DI SABDAKAN OLEH NABI SAW.

Comments

Popular posts from this blog

DJM2012_NOTA_SISTEM KAWALAN KOMPUTER

JF302 -Bab 2a

JF302 BAB 6- PLASTIK