Travelog KT33





1429H/2008 menjadi tahun keramat bagiku untuk mengungkapkan satu nostalgia perjalananku ke Negeri Madinah al Munawwarah dan juga Tanah Suci Mekah Al Mukarramah. Lambaiannya masih hangat terasa, seolah-olah ada suara halus memanggil-manggil untuk ku ke sana buat kali ke 2. Oh amat rindu rasanya untuk ku melihat kedamaian dan kesyahduan Baitullah dan Raudah maqam baginda rasulullah. Manusia yang paling agung seagung-agungnya.
Langit Subuh Madinah amat cerah sewaktu aku, isteri dan ibuku melabuh diri di lapangan terbang Madinah.. Tidak terkira sukacitanya hati ini bila kapal terbang arab saudi dapat mendarat dengan sempurna di sana. Alhamdulillah. Teringat pesan Ustaz Abd. Basit supaya sentiasa berdoa kepada Allah agar mengurniakan perasaan merasai singkatnya masa di dalam perjalanan. Syukur..beberapa belas jam di udara, kesihatan tubuh serta yang paling kritikalnya perutku, tak pernah meragam. Nasi, kek, air dan sebagainya yang disediakan oleh pramugari ‘no problem’. Pramugari  amat manis-manis belaka terpaksa bertudung singkat dan sedikit melaram gincu bewarna warni di wajah mereka. Nak kata mak Arab bukan, nak kata minah melayu malaysia pun bukan. Bila baca ‘name tag’ rupa-rupanya saudari dari seberang...Baguslah sekurang-kurangnya jemaah Malaysia nak buat ibadat haji terjaga sedikit jiwa mereka serta berjaya memulakan perjalanan dengan melihat yang elok-elok aje...
Lamanya berbaris!!! Panjang pulak tu. Berapa kaunter ni yang dok tengah operasi? Subuh dah nak abis nii. , tu pun anggaran waktu yang aku kira demi nak selamat diri dari terlanjur (ustaz yang bagi tau...amalkanlah aje). Nasib baik aku dan keluargaku dah sembahyang subuh atas kapal terbang tadi dan rasa-rasanya masih ramai tak beres subuh. Ramailah bakal hajjah dan hajji solat di segenap anjung airport selepas check up pasport masing-masing...Langit semakin menampakkan sinar dhuhanya.
MasyaAllah...begini rupanya Madinah negeri tempat tinggal rasulullah. Manusia yang pernah wujud suatu ketika dahulu di sini. Pernah berjalan berlari di sini. Pernah makan minum di sini, pernah berperang di sini dan pernah menguruskan kehidupannya sebagai seorang suami, pemimpin, pendakwah dan seorang hamba Allah yang paling-paling Allah kasihi padanya.  Negeri Madinah sungguh indah dengan orang-orangnya ramah tamah dan dihiasi dengan adab sopan. Mereka adalah hasil dari didikan rasul dan hasil tarbiah yang benar dari nabi utusan Allah di zaman penghujung dunia ini. Aku berjaya menjejakkan kakiku ke sini, pusat ketamadunan teragung sejarah peradaban manusia. Tak terucap dengan kata-kata tetapi hati ini tak berhenti melafazkan kata syukur yang tertinggi kepada Allah yang sudi menerimaku sebagai tetamu, seorang hamba yang maha fakir untuk bersua denganNya yang maha Kaya, Tuhan yang tiada sesuatu apa juapun yang setanding dengan Nya.
Aku tertinggal. Orang lain semuanya bergerak bersama-sama guru agama untuk ke Masjidil Nabawi. Isteriku dan Emak berehat di bilik Hotel Harthiyyah. Aku pula masih tidak menerima bag besar yang mengandungi pakaianku. Yang ada cuma bag galas sederhana besar yang terkunci, yang kuncinya ada tersembunyi di dalam bag besar yang hilang. Aku resah dan keluh kesah. Orang lain bersiap sedia dengan pakaian ibadat yang cantik-cantik dan harum, manakala aku berpakaian yang sudah sehari setengah tak tukar-tukar didatangkan khas dari KLIA Malaysia. Siasat di serata tingkat hotel, masih tidak ditemui.. Apakah malang nasibku. Emak dan isteri semuanya cukup sempurna bagasinya. Emak masih tak larat dan berehat di bilik sahaja. Akhirnya aku dan isteri membuat keputusan bertekad untuk teruskan juga niat ke masjid nabi. Di lobi hotel dah tiada lagi jemaah rombongan bersama-samaku tadi. Aku menunggu saja di sofa sambil memikirkan arah tuju bagaimanakah statusku selepas ini. Nak ke sana takut sesat, pasal first time sampai di sini. Aku rasa teramat sedih sekali  dan sayu kalbuku...apakah dosa dan kesalahan yang aku telah perbuat sehingga bagaikan sengaja Allah nak kaffarahkan kepadaku sesuatu musibah begini.. Astaghfirullahh.?  Wallahua’lam.
Tiba-tiba seorang lelaki berpakaian baju melayu labuh menegurku dan isteri. Mereka juga berpasangan. Mereka dari Pahang, “bisnessman”. Mereka adalah jemaah haji dari syarikat travel yang sama.  Alhamdullillah mereka sudi mengajak kami ke Masjid Nabawi. Aku menarik nafas lega. Rupa-rupanya tak sampai 3 minit pun berjalan kaki dan dah pun sampai di perkarangan masjid yang telah lama aku idam-idamkan kehadiranku ke sini. Betapa luasnya Rumah Allah ini. Di kelilingnya berdiri bangunan hotel-hotel yang berbagai bentuk berciri islamik serta boleh ditakrifkan kepada tema pandang pasir. Abang Kandungku juga telah berangkat seminggu awal ke sini dan beliau menginap di MovinPick Hotel. Aku dan abang dari pahang bergerak bersama ke bangunan depan masjid yang ada kubah hijau. Pada waktu ini sudah hampir waktu zohor, abang tu sebenarnya sudah beberapa kali datang umrah dan cukup pengalaman tentang kawasan perkarangan masjid nabi. Dia terus bawaku ke Raudhah, Namun cubaan kali pertama gagal. Terlalu ramai jemaah di sana, aku duduk di bangunan belakang sahaja. peluang untuk masuk dan duduk di dalam saf  di dalam bangunan Masjid kubah hijau teramat tipis. Lagi pun kawalan amat ketat di pintu masuk masjid. Ada beberapa orang askar atau polis lengkap beruniform  hijau mengawal laluan dan kelihatan seperti partition yang sengaja dipasang bagi mengawal keluar masuk jemaah.  Setelah Azan Zohor berkumandang, aku terus solat sunat dan meneruskan fardu bersama-sama imam selepas itu.
Aku dan abang pahang masih mencari peluang ke raudah pada waktu asar. Sementara melihat-lihat dan menunggu pintu partition dibuka, aku duduk di serambi luar yang berdekatan pintu tersebut.  Bila pintu dibuka aku masuk dengan cepat beserta ramai juga jemaah dari pelbagai negara yang selama ini sudah lama menunggu dapat masuk dengan sukacitanya. Suasana amat tenang tenteram seketika. Aku mencari posisi yang sesuai di saf kosong yang ada untuk terus melakukan solat sunat serta membaca Al Quran. Aku sangka ini kut Raudah???. Yea kut detik hatiku... Tiba-tiba terdengar dek telingaku sesuatu yang amat ganjil. Sesuatu yang menggetar jiwa. Sesuatu bunyi yang tak pernah ku dengar di masjid-masjid lain..Ku toleh pandanganku ke kiri ke arah bunyi itu...dan. BERSAMBUNG

Comments

Popular posts from this blog

DJM2012_NOTA_SISTEM KAWALAN KOMPUTER

JF302 -Bab 2a

JF302 BAB 6- PLASTIK